Wednesday, 19 October 2011

Rangsangan Lahir Anak Pintar

0 comments


Bagi melahirkan anak bijak, anda perlu memulakan langkah pertama sejak dari awal. Di awal trimester kehamilan, otak bayi sudah mula berkembang dan kemudiannya berterusan sehinggalah dia berusia dua tahun. Dalam pada itu, terdapat pelbagai teknik yang boleh anda lakukan untuk merangsang bayi dalam kandungan.

Antaranya ialah rangsangan bunyi (alunan muzik atau suara ibu), pergerakan, tekanan, getaran dan komunikasi antara ibu dan kandungan. Melalui teknik-teknik ini, bayi akan bertindak balas dengannya. Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan perkembangan fizikal, mental dan penglihatannya agar anak menjadi seorang yang bijak.

1. Sentuhan
 
Biasanya ibu hamil akan berhubungan dengan bayinya melalui sentuhan dan komunikasi di antara kedua-duanya. Sewaktu anda menyentuh, membelai, mengusap bahagian perut, sejenis hormon akan dirembeskan. Hormon tersebut berperanan memberi kelegaan kepada rahim. Ini secara tidak langsung menimbulkan keselesaan dan ketenangan kepada bayi. Jadi, gunakanlah kesempatan yang ada untuk berkomunikasi dengannya.


2. Tiga bulan pertama

Maklumat penting untuk anda! Sebaik-baiknya anda perlu memulakan rangsangan untuk mendapat anak yang bijak sewal kehamilan berusia tiga bulan lagi. Waktu ini dipercayai amat sesuai untuk bayi menerima rangsangan pertamanya.
Pada waktu ini, bayi seharusnya menerima orientasi ruang dan rangsangan sentuhan daripada anda. Dengan yang demikian, bayi dapat mengembangkan kemahiran penglihatan dan motornya pada tahap yang berbeza sepanjang tempoh kehamilan. Oleh kerana itulah, anda perlu merangsang bayi hanya setelah dia mengembangkan deria agar dapat bertindak balas sepenuhnya.


3. Muzik
 
Setelah bayi berusia lima bulan, deria pendengarannya telah berkembang. Ketika ini, anda dapat menggunakan muzik untuk memberi rangsangan kepadanya. Dalam pada itu, muzik klasik terbukti sebagai rangsangan yang baik untuk mengembangkan  kepintaran bayi.

Penyelidik di Barat menyatakan bahawa kebanyakan muzik klasik dihasilkan daripada nada-nada yang harmoni. Nada tersebut memberi rangsangan kepada bayi dalam bentuk gelombang alfa. Gelombang berkenaan akan menimbulkan mood tenang, relaks dan tenteram kepada bayi yang ternyata dapat membantu perkembangan dirinya. Selain daripada itu, muzik klasik turut terbukti berkesan untuk meningkatkan perkembangan otak, penglihatan, kemahiran bahasa dan motornya.

Oleh kerana itulah, anda dilarang sama sekali untuk merangsang bayi dengan menggunakan muzik-muzik yang “keras”. Hal ini dikhuatiri akan menimbulkan kebingungan dan akhirnya menjejaskan kepintarannya. Untuk itu, anda digalakkan untuk memperdengarkan bayi dengan muzik klasik pada waktu yang khusus. Ini dapat dilakukan terutamanya ketika anda sedang berehat. Alunan muzik klasik yang harmoni dan lembut tentu sahaja akan membuat bayi berasa tenang dan gembira. Seterusnya, impian anda untuk memiliki anak pintar akan tercapai sekiranya teknik rangsangan yang betul dipraktikkan.


Kesimpulannya, apa jua jenis rangsangan yang digunakan, anda perlu mengetahui teknik rangsangan yang betul agar dapat menyediakan persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan menyeronokkan. Ketiga-tiga aspek ini amat penting untuk menggalakkan bayi membesar dengan sihat dan dapat belajar banyak perkara sewaktu masih di dalam kandungan.





Leave a Reply

Labels