Thursday, 19 April 2012

UBAT-UBATAN DAN PENYUSUAN IBU

1 comments




Kesedaran terhadap peri pentingnya penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu telah banyak mempengaruhi sebahagian besar kaum wanita untuk menyusu anak-anak mereka dengan susu badan. Walau bagaimanapun terdapat sebahagian dari mereka ini terpaksa mengambil ubat-ubat atas sebab-sebab tertentu ketika menyusukan anak mereka. Ini memerlukan perhatian kerana ia boleh menimbulkan kesan ke atas anak yang menyusu.

Kebanyakan dari ubat-ubat ini mengalir melalui saluran darah dan sebahagian kecil darinya akan masuk ke dalam susu ibu. Sesetengah dadah atau ubat-ubat ini boleh menimbulkan masalah kepada bayi. Untuk mengurangkan pendedahan bayi anda terhadap ubat-ubatan, anda perlu berbincang dengan doktor atau pegawai farmasi.

Bagaimanakah anda dapat mengurangkan pendedahan bayi anda terhadap ubat-ubatan?
  • Beritahu doktor bahawa anda sedang menyusukan anak anda setiap kali berjumpa doktor untuk sesuatu rawatan.
  • Hentikan pengambilan ubat tersebut sekiranya tidak begitu perlu.
  • Mengambil ubat selepas sahaja menyusukan bayi bagi memastikan kadar ubatan di dalam susu berada pada kadar yang rendah bagi penyusuan seterusnya..
  • Mengambil ubat sebelum bayi tidur untuk jangka waktu yang lama.
  • Hentikan penyusuan buat sementara waktu jika perlu.
Apakah langkah pengawasan yang perlu diambil?

  • Mintalah nasihat dari doktor ataupun ahli farmasi sebelum mengambil sesuatu ubat.
  • Sekiranya anda menyusu badan dan perlu mengambil ubat-ubatan tertentu, bawalah
  • bayi anda untuk pemeriksaan tetap bagi mengesan sebarang tindakbalas atau kesan sampingan yang mungkin berlaku.
  • Ambil ubat sebaik sahaja selepas bayi disusukan supaya paras dadah di dalam susu adalah pada kepekatan terendah sebelum penyusuan seterusnya diberikan.
Jangan sekali-kali:
  • Merokok
  • Meminum alkohol
  • Mengambil sebarang ubat kecuali sangat perlu
  • Merasa bimbang
  • Terasa tertekan
Bahan-bahan yang mendatangkan kemudaratan

Mana-mana ubat yang tidak dinyatakan di bawah ini tidak bermakna ia selamat digunakan ketika penyusuan. Dadah yang biasanya digunakan yang tidak memerlukan preskripsi doktor. Sentiasa ingatkan doktor anda atau pegawai farmasi bahawa anda menyusukan anak anda dengan susu badan setiap kali anda berjumpanya untuk sesuatu masalah kesihatan. Senarai ubat-ubatan dan bahan-bahan yang tidak selamat digunakan semasa menyusukan bayi yang kerapkali digunakan adalah seperti berikut:

Alkohol - Penggunaannya mendatangkan mudarat. Penggunaan secara kerap meninggalkan kesan buruk. Dan boleh menimbulkan risiko walaupun digunakan sekali-sekala.

Analgesik (penahan kesakitan) – Kesan berbahaya tidak diketahui setakat ini.

Aspirin - Jika digunakan sekali-sekala ia adalah selamat, tetapi jika diambil selalu boleh memudaratkan.

Parasetamol - Belum terdapat kesan yang memudaratkan walaupun diambil selalu.

Codeine - Belum terdapat kesan yang memudaratkan walaupun diambil selalu.

NSAIDS (Ubat anti-radang tanpa steroid, contohnya Diklofenak, Asid mefenamik, Naproksen dan sebagainya) - Gunakan secara berhati-hati. Berbincanglah dengan doktor atau pegawai farmasi.

Antihistamina - Penggunaannya tidak digalakkan. Ia mengurangkan bekalan susu dan mengganggu bayi. Berbincanglah dengan doktor atau pegawai farmasi

Antasid - Belum terdapat kesan yang memudaratkan walaupun diambil selalu.

Ubat menghalang cirit-birit
  1. Antidiarrhoeals– Kesan berbahaya tidak diketahui setakat ini.
  2. Kaolin - Kesan berbahaya tidak diketahui setakat ini.
  3. Loperamide - Gunakannya dengan berhati-hati. Berbincanglah dengan doktor atau pegawai farmasi
  4. Atropin - Penggunaannya tidak digalakkan.
Kafein - Kandungan kafein yang tinggi dalam minuman boleh menyebabkan gangguan pada bayi (4 cawan atau lebih sehari).

Sediaan ubat batuk dan selsema
  1. Dekstrometorfan - Tiada sebarang kesan mudarat yang diketahui setakat ini
  2. Fenilproparolamin/fenilefrin - Guna dengan berhati-hati. Ia boleh mengurangkan bekalan susu menyebabkan kerengsaan pada bayi. Berbincanglah dengan doktor atau pegawai farmasi.
  3. Folkodein - Gunakan dengan berhati-hati. Berbincanglah dengan ahli farmasi.
  4. Pseudoefedrin - Gunakan dengan berhati-hati. Boleh mengurangkan pengeluaran susu dan menyebabkan bayi meragam. Berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi.
Ubat sedut (untuk asma)
  1. Salbutamol - Tiada sebarang kesan mudarat yang diketahui setakat ini.
  2. Terbutalin - Tiada sebarang kesan mudarat yang diketahui setakat ini.
Zat Besi (untuk Anaemia) - Tiada sebarang kesan mudarat yang diketahui setakat ini jika makan mengikut dos yang disarankan oleh doktor.

Iodin - Penggunaannya adalah dilarang semasa penyusuan susu badan, ianya mungkin memberi kesan kepada kelenjar tiroid. Jika perlu digunakan, hentikan penyusuan susu ibu

Julap
  1. Laksatif atau julap - Tiada sebarang kesan mudarat yang diketahui setakat ini
  2. Julap Perangsang - Boleh menyebabkan cirit- birit pada bayi.
Nikotin (contoh: Tampalan Nikotin bagi rawatan pengurangan tabiat merokok) - Boleh mengurangkan pengeluaran susu, menyebabkan bayi muntah, cirit birit dan meragam. Jangan guna sewaktu tempoh kehamilan dan penyusuan ibu

Vitamin - Berhati-hati dengan pengambilan vitamin D, E, piridoksin dan tiamin dalam kuantiti yang banyak. Jangan ambil Vitamin A dalam dos yang tinggi sewaktu hamil. (Tidak dibenarkan sewaktu hamil)

Ubat cacing
  1. Pyrantel pamoat - Kesan berbahaya tidak diketahui.
  2. Mebendazol - Pengambilan tidak digalakkan semasa penyusuan susu ibu.
  3. Albendazol - Pengambilan tidak digalakkan semasa penyusuan susu ibu.
PERINGATAN

Ubat-ubat yang tidak boleh diambil ketika menyusukan anak, termasuklah:

Bromokriptin (parlodel) - Ubat yang digunakan untuk penyakit Parkinson. Ia juga mengurangkan bekalan susu ibu. Dadah kemoterapi untuk rawatan kanser. Memandangkan ia membunuh sel di dalam badan ibu, mungkin boleh membahayakan anak anda.

Ergotamin (untuk migran) - Menyebabkan muntah, cirit-birit, sawan pada bayi.

Lithium (penyakit mental) - Dirembeskan melalui susu ibu.

Methotrexate (arthritis) - Mengganggu sistem pertahanan tubuh bayi.

Asap rokok, nikotin dan pelbagai kimia (perokok aktif atau pasif) - Jangan merokok ketika menyusukan anak. Nikotin boleh menyebabkan bayi muntah, cirit-birit dan kelesuan malah susu ibu juga akan berkurangan. Merokok semasa mengandung, atau menyedut asap rokok orang lain (passive smoke) boleh meningkatkan risiko kematian bayi secara mendadak (SIDS) dan meningkatkan jangkitan saluran pernafasan dan jangkitan dalam telinga.

Kokain dan Pensaiklidin (PCP) - boleh menghayalkan bayi dan memberikan kesan keracunan pada bayi anda.

Amfetamin, heroin and marijuana - Memberikan berbagai kesan termasuklah tidak selesa, kerengsaan, gangguan tidur, menggigil dan muntah-muntah. Bayi juga boleh menjadi ketagih dengan pengambilan dadah ini melalui susu badan.

One Response so far

  1. armouris says:

    terjumpa e-book percuma ni, tentang menyusu dalam bahasa Melayu … sharing is caring :) - Buku Menyusu Dengan Yakin

Leave a Reply

Labels